Program Teknologi
Pendidikan mula diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara sejak sebelum
merdeka lagi melalui alat bantu mengajar. Melalui penggunaan
alat-alat bantu mengajar seperti filem jalur secara terancang, dapat
menjelaskan konsep pembelajaran dan memperkayakan suasana pembelajaran dengan
bantuan gambar, teks, dan audio.
Pada tahun 1949, sebuah
Jawatankuasa Ad-Hoc Alat Pandang Dengar (APD) Persekutuan telah dibentuk bagi
menyelaraskan penerbitan topik-topik tempatan dan penggunaan alat bantu
mengajar. Dengan perkembangan penerbitan bahan dan keperluan khidmat nasihat
yang berterusan ke atas pengurusan dan penggunaan alat-alat tersebut, maka
Jawatankuasa Alat Pandang Dengar Negeri dan Pusat Alat Pandang Dengar Negeri
ditubuhkan pada tahun 1950-an. Pada tahun 1956, satu Jawatankuasa sepenuh masa
dibentuk dan diketuai oleh seorang Setiausaha Alat Pandang Dengar.
Pada peringkat awal,
perkhidmatan Unit Alat Pandang Dengar diletakkan di bawah Bahagian Latihan
Guru, memandangkan guru-guru digalakkan menggunakan APD dalam proses pengajaran
masing-masing. Dengan rombakan Kementerian Pelajaran pada tahun 1963, Unit APD
dipindahkan ke Bahagian Sekolah-Sekolah dan seterusnya telah menubuhkan sebuah
Pusat APD Kebangsaan dan 302 buah Pusat APD Daerah di seluruh negara untuk
memberi perkhidmatan kepada 1500 buah Sekolah Rendah Kebangsaan.
Usaha untuk memperluaskan
penyampaian pendidikan ke kawasan-kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia
diteruskan dengan melancarkan Perkhidmatan Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah pada
tanggal 2 Mei 1966. Usaha ini merupakan kerjasama antara Kementerian Penerangan
dan Penyiaran dengan Kementerian Pelajaran. Penumpuan diberikan kepada mata
pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan Bahasa Tamil.
Seterusnya, pada tahun 1967, perkhidmatan ini diperluaskan ke sekolah-sekolah
menengah.
Pada tanggal 18 Mei 1970,
Perkhidmatan Siaran Radio Ke Sekolah-Sekolah telah diletakkan di bawah
Kementerian Pelajaran, tetapi Kementerian Penerangan dan Penyiaran terus
menyediakan kakitangannya sehingga Kementerian Pelajaran mengganti
kakitangannya sendiri pada satu tempoh yang sesuai kelak.
Pada akhir 1960-an, konsep multi-media
telah berkembang dan diyakini berpotensi untuk mempertingkatkan proses
pengajaran dan pembelajaran. Selaras dengan pelancaran siaran rancangan
television pada tahun 1963, Kementerian Pelajaran telah menjalankan dua projek
rintis pada tahun 1965 di sekolah rendah dan pada tahun 1966 di sekolah
menengah untuk mengkaji kesesuaian mengadakan perkhidmatan TV Pendidikan.
Dapatan ke atas kajian amat menggalakkan dan mencadangkan untuk
menubuhkan Perkhidmatan Televisen Pendidikan.
Pada tahun 1968,
Kementerian Pelajaran telah melantik En. Alan Hancock dari The Centre for Educational
Television Overseas (London) menjalankan kajian tentang kemungkinan
menggabungkan perkhidmatan alat bantu mengajar, radio pendidikan dan television
pendidikan. Hasil laporan yang dikemukakan dan disokong dengan perkembangan
konsep multi-media yang berpotensi untuk mempertingkatkan proses
pengajaran dan pembelajaran, dalam tahun 1971, kerajaan bersetuju untuk
menubuhkan Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan di bawah Kementerian
Pelajaran Malaysia. Projek penubuhan TV Pendidikan pula dimasukkan sebagai
salah satu projek perkembangan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kedua
(1971-1975). Pada 19 Jun 1972, perkhidmatan TV Pendidikan ke sekolah-sekolah di
Semenanjung Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya oleh Y.A.B. Tun Haji
Abdul Razak bin Dato’ Hussein.
Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) telah
diwujudkan pada 19 Jun 1972 dengan nama Bahagian Perkhidmatan Sebaran
Pendidikan. Kelulusan untuk mewujudkan BTP dibuat oleh Kabinet dalam
tahun 1971. Fungsi utamanya pada ketika itu ialah memberi perkhidmatan
siaran radio, perkhidmatan alat pandang-dengar dan perkhidmatan siaran TV
ke sekolah-sekolah. Dalam tahun 1988, nama Bahagian Perkhidmatan Sebaran
Pendidikan ditukar nama kepada Bahagian Teknologi Pendidikan apabila fungsinya
diperluas bagi merangkumi perkhidmatan pusat sumber sekolah. Kini,
BTP mempunyai 11 sektor dan 15 BTPN.Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000 Quality Management Systems-Requirements. Sistem ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh BTP mempunyai standard kualiti yang dikehendaki